(First, read the news article here.)
Ya, hari ini, Qur’an telah dibakar oleh mereka, kerana jahilan mereka sendiri.
Ya, hari ini, hati juga membakar dengan api-api kemarahan melihat perbuatan mereka.
Tetapi tiba-tiba terdetik suara kecil di hati…
Ketika Rasulullah s.a.w. wafat, Abu Bakr As-Siddique telah mengatakan dengan penuh hikmah,
“Kalau saudara-saudara menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi kalau saudara-saudara menyembah Allah, maka sesungguhnya Dia tetap hidup selama-lamanya!”
Nah, kita menggunakan analogi yang sama kepada al-Qur’an: Jika pastor Terry Jones membakar satu mushaf, berjuta mushaf lagi yang ada. Malah jika dia membakar kesemua mushaf pun, Qur’an tetap akan ada… di dalam hati, minda dan lidah berbilion kaum Muslimin.
….
Hmm, benarkah yang aku katakan tadi?
Adakah benar, jika Qur’an kesemua dibakar, Qur’an akan tetap terus hidup di dalam hati Ummah? Adakah benar, jika Qur’an sebagai mushaf tidak lagi ada, diriku ini dapat menghidupkan kembali Qur’an dengan kata-kataku, dengan akhlakku etc?…
Sesungguhnya masih jauh lagi.
Kita kembali.
Apakah punca perasaan-perasaan ketidakpuasan Terry Jones kepada Islam?
Buatku, sudah tentunya kerana apa yang dilihat dengan matanya - kaum Muslimin. Dan oleh kerana kita selalu membuat sesuatu atas nama Allah walaupun perkara itu melanggar syariah, secara A = B, Terry Jones telah membuat kesimpulan bahawa kelakuan kaum Muslimin semua disebabkan perintah-perintah yang telah diberikan Allah, kepada Ummah, melalui al-Qur’an.
Ya, memang salah kesimpulannya, dan salah lagi perbuatannya yang melandaskan kesimpulan tersebut. Kesilapannya adalah kerana kejahilannya, kerana dia tidak tahu.
Tetapi tanyalah diri sendiri, wahai diri yang telah pun mengetahui.
Qur’an tetap ada sebagai mushaf di rak-rak, tetapi tidak dibuka, tidak dibaca, tidak ditadabbur. Apa bezanya jika Qur’an itu ada, atau tidak?
Qur’an diturunkan untuk mengubah akhlak, untuk menyeru pada Yang Satu. Jika perangai tetap jahil, apa bezanya jika Qur’an itu ada, atau tidak?
Dan yang terakhir, apabila orang kafir mengutuk-ngutuk Islam atau membakar kalamullah, diri kita cepat marah, cepat menuduh kekafiran mereka… tetapi tepuklah dada dan tanya selera,
Adakah diri sendiri telah membakar Qur’an secara simbolis?
Moga memberiku, dan memberi kami semua, peringatan, insyaAllah.