Menyambut Ramadhan di Geylang?
Aku mengorak langkah, mata liar mencari teman yang sedang mencari selendang yang dikirim sahabat dari Malaysia. Tertanya-tanya di minda akan kenapa Geylang Serai penuh sesak walaupun bazaar Ramadhan belum bermula; pening kepalaku dibuatnya dengan hingar dan bingar di sekeliliing yang bercampur aduk dengan hembusan asap dari dedaun berapi di jari-jemari manusia.
“Tu haaa konsert dia. Nari kan opening lampu-lampu pat road ni!”
Oh, patutlah. Dalam diam aku bersyukur bahawa temanku juga bukan seorang yang suka membeli-belah; bolehlah kita cepat mengangkat kaki dan beredar walaupun belum sampai sepuluh minit tanah Joo Chiat Road dipijak.
Aku mara terus kehadapan, cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri dari terlanggar atau tersentuh sesiapa yang bukan mahramku. Sulit, amat sulit. Sambil berjalan ku mengimbas kembali perbualan antara diri yang dhaif ini dengan temanku melalui telefon di bulan Ramadhan setahun yang lalu.
“Awak… Kenapa Ramadhan di Singapura macam gini awak? Ramai I tengok yang tak puasa, tak menjaga pergaulan, bermaki-hamun… tetapi beria-ia nak sambut Hari Raya. Kenapa dengan masyarakat kita di Singapura ni?”
“Fadhilah di mana sekarang?”
“Di Geylang Serai, teman bonda beli barang rumah.”
“Sebab Fadhilah di Geylang Serai lah Fadhilah nampak benda-benda yang gitu. Cuba duduk di masjid; insyaAllah Fadhilah akan melihat yang ahsan…”
Ku tersenyum sendiri; banyak lagi yang harus ku pelajari. Tiba-tiba lamunanku dicelah oleh melodi guitar elektrik dan perintah, “Everybody scream!!!!!!” Aku menoleh mencari suara. Di bawah khemah putih ku melihat sekumpulan makcik-makcik dan pakcik-pakcik bersorakan mengikut perintah yang diberi. Dan tiba-tiba dari suara yang sama berteriak,
“Woooo!!! Selambat menyambut Ramadhan!!!”
Tertelan air liur.
Kemungkinan besar kedhaifan diri ini yang membuatku keliru, tetapi di antara masalah ikhtilat yang tidak dapat ditangkis di sekeliling, suasana hingar-bingar yang mengesyorkan pembelanjaan berlebihan dan kemungkinan melakukan zina mata, telinga, tangan, kaki dan hati tanpa sengaja… aku membuat keputusan berfatwa kepada hati bahawa Geylang Serai bukan tempat yang ‘harus’ dikunjungi masyarakat Islam Singapura pada bulan Ramadhan… Malah, lebih baik dielakkan terus jika tiada keperluannya.
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah, bulan yang lebih baik dari 1000 bulan biasa. Hanya di bulan Ramadhan Allah swt menjanjikan bahawa setiap pahala fardh digandakan sebanyak 70 kali, dan setiap yang sunnah dinaikkan pahalanya bak ia sesuatu yang fardh. Hanya dalam Ramadhan syaitaan akan dipenjarakan dan justeru jihad besar kita diringankan sementara tanpa musuh besar selain nafsu kita sendiri!
Sungguh, bodohlah diriku ini jika menganggap ‘business deals’ dan ‘promotions’ di Geylang itu lebih utama dari business deals dan promotions yang Allah swt adakan hanya di bulan Ramadhan. Jahillah diriku ini jika membiarkan walaupun SATU malam Ramadhanku diselebungi teriakan “Lelong! Lelong!” dan perbualan kosong, apabila di rumah-rumah Allah ramai lagi kaum muslimin dan muslimat asyik mendengar bacaan Qur’an, mengejarkan pahala, di dalam solat terawih. Dan sia-sialah aku mendu’akan agar Ramadhanku disirami barakah Allah, jika kakiku sendiri melangkah ke tempat yang terlalu jauh dari suasana Islami.
InsyaAllah, biar kita mengatur langkah kita agar Ramadhan yang akan tiba (insyaAllah) Ramadhan yang lebih baik buat diri kita dari Ramadhan yang lalu. Raihlah seberapa banyak pahala yang termampu, dan jauhilah dari segala dosa atau jalan-jalan yang menuju ke dosa seberapa yang kita boleh… InsyaAllah.
Moga menjadi peringatan kepada diri yang dhaif ini… Ramadhan kareem :)